Dikhabarkan 3 bakat muda warisan Malaysia berpotensi besar terlepas panggilan memperkuat Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.
Skuad Harimau Malaya ketika ini menerima berita gembira apabila DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor telah menemui 7 pemain warisan yang miliki peluang menyarung jersi negara.
Malah, DYAM Tunku Ismail turut menjelaskan para pemain yang ditemui Baginda rata-rata berasal daripada selatan Eropah dan tiada seorang pun yang datangnya dari negara England.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri.”
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” tambah penjelasan DYAM Tunku Ismail.
Pendedahan ini secara tidak langsung memberi bayangan 3 pemain kacukan England yang pernah dilaporkan sebelum ini berisiko terlepas panggilan dalam Harimau Malaya nanti.
Salah seorangnya adalah Kobe Chong yang ketika ini beraksi buat St Ives Town dan pernah mendedahkan dalam satu sesi temu bual bersama Stadium Astro bahawa bapanya berasal dari Ipoh, Perak.
Selain itu juga, pemain versatil, Richard Chin turut berpotensi untuk kehilangan tempat dalam skuad Harimau Malaya nanti meskipun sudah pernah turun berlatih bersama pasukan B-23 negara.
Seorang lagi pemain merupakan Jaami Qureshi yang pernah menyarung jersi pasukan Brighton & Hove Albion di England dan dilaporkan memiliki darah warisan Malaysia melalui ibu beliau.
Walau bagaimanapun, status ketiga-tiga pemain ini masih belum diputuskan lagi dan peminat Harimau Malaya mula teruja untuk menanti 7 pemain warisan yang dimaklumkan oleh DYAM Tunku Ismail.