Hasrat untuk melihat pemain tengah menyerang, Kobe Chong untuk mewakili Harimau Malaya semakin tertutup.
Tonggak berusia 23 tahun itu berkelana sebahagian besar kariernya di Eropah bersama beberapa kelab England dan Itali.
Beliau sebelum ini hadir ke Malaysia selain difahamkan mengadakan perbincangan bagi membolehkannya untuk mewakili skuad kebangsaan.
Bekas pemain Akademi West Bromwich Albion di England ini menyimpan hasrat untuk mewakili Harimau Malaya selain menggunakan pengalaman luasnya untuk membawa Malaysia.
Beliau dalam satu temu bual bersama Stadium Astro mendedahkan bahawa bapanya berasal dari Ipoh, Perak selain mampu menggalas tugas pada tiga posisi berbeza.
“Masa saya muda ketika berusia 12, 13, 14 (dan) 15 tahun, saya bermain di bahagian sayap. Bila saya sertai kelab Serie A, Cagliari, saya beraksi sebagai pemain tengah dari 16 (tahun) hingga 20 (tahun).
“Bila saya sertai Peterborough, saya beraksi di posisi itu juga. Dan sejak saya kembali beraksi di Conference North(National League North), saya lebih kerap beraksi di bahagian tepi dan tengah menyerang,” katanya.
Makluman terbaru oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan bahawa terdapat pemain warisan yang telah dikenal pasti namun bukan berasal dari Eropah.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
Baginda juga memberi gambaran awal hanya pemain dari Eropah Selatan bakal mewarnai revolusi skuad negara.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri.
“Kebanyakannya bermain di liga teratas Eropah. Tiada pemain dari England. Kebanyakannya dari Eropah selatan,” tambah penjelasan DYAM Tunku Ismail.