Pertembungan Vietnam vs Malaysia masih perlu dipandang serius meski ada pihak menganggap aksi ini tidak memberi sebarang manfaat buat skuad Harimau Malaya.
Pasukan Harimau Malaya kini berada di Nam Dinh menjelang aksi terakhir kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam dengan kedua-dua negara ini akan turun membawa misi yang sama.
Kemenangan pastinya menjadi sasaran kedua-dua pasukan meskipun tiket ke Piala Asia 2027 sudah dalam genggaman Vietnam setelah Malaysia dikenakan pemotongan mata baru-baru ini.
Walaupun impian untuk menyaksikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027 sudah pun terkubur, namun pasukan kebangsaan masih perlu memandang serius perlawanan ini atas 3 faktor utama ini.
1- Perkiraan mata ranking FIFA masih diambil kira
Aksi menentang Vietnam ini masih lagi penting oleh kerana perkiraan ranking FIFA tetap diambil kira dengan tambahan mata +15.33 yang cukup lumayan bakal menjadi keutamaan skuad negara.
Kemenangan ke atas Vietnam bakal memberi kesan terhadap kedudukan Malaysia dengan dijangka lonjakan 3 anak tangga dari ranking 135 ke 132 dunia, berdasarkan perkiraan kasar.
2- Medan terbaik menguji mental pemain Malaysia
Tekanan bermain di tempat lawan kali ini pastinya memberi satu pengalaman hebat untuk para pemain Harimau Malaya tatkala Vietnam dijangka mendapat sokongan padu dari para penyokong.
Ini bakal menjadi medan terbaik bagi menguji mental pemain negara apabila turun dengan misi memburu kemenangan ke atas pasukan di ranking lebih tinggi selain bermain di tempat lawan.
3- Menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam
Misi besar di bumi Nam Dinh bukan sahaja mustahak demi memperbaiki ranking negara, namun cukup penting untuk menamatkan kemarau kemenangan Malaysia ke atas jaguh Asia Tenggara, Vietnam ini.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mengalahkan Vietnam adalah pada tahun 2014 ketika skuad negara dikendalikan oleh Dato’ Dollah Salleh dan mencatatkan kemenangan 4-2 di Hanoi.
Aksi antara Vietnam vs Malaysia bakal berlangsung malam ini di Stadium Thien Truong dengan sepak mula tepat jam 8 malam waktu tempatan.