Persaingan sengit dipamerkan oleh tiga wakil beregu lelaki Malaysia bagi merebut tempat dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Menerusi kemas kini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam acara beregu lelaki sebelum ini menyaksikan seramai lima wakil negara mengisi kelompok 20 terbaik dunia diketuai oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik di kedudukan kelima.
Sementara tiga lagi pasangan negara sedang bersaing hebat antara satu sama lain dan beregu dari negara luar untuk mengejar tempat dalam carta 10 beregu lelaki terbaik dunia menjelang beberapa kejohanan yang berbaki pada musim ini.
Nur Izzuddin-Goh Sze Fei kini berada di tangga ke-13 dunia setelah aksi konsisten dipamerkan mereka bagi musim 2024 ini termasuklah muncul naib juara Asia dan tiga kali mara ke suku akhir dalam tiga kejohanan terakhir.
Tidak jauh ketinggalan di belakang adalah pasangan muda, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kini berada di ranking ke-17 dunia setelah bangkit dari persembahan sedikit suram di awal musim untuk meraih tempat kedua di Indonesia Open bulan lalu.
Pasangan berpengalaman, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang pula berada satu anak tangga di belakang Wei Chong-Kai Wun meskipun tidak menyertai kejohanan sejak Badminton Asia Championship April lalu dan berkemungkinan kembali selepas temasya Olimpik nanti.
Tiga beregu lelaki negara ini dijangka bakal menggegar gelanggang semula di Japan Open bermula 20 Ogos nanti dengan misi mengumpul dan melonjakkan lagi kedudukan mata ranking untuk berada di dalam kelompok 10 terbaik.
Japan Open 2024 yang bakal berlangsung di Yokohama Kanagawa merupakan kejohanan berstatus Super 750 dan semestinya kemaraan ke pusingan lebih tinggi akan menjanjikan mata yang banyak buat tiga pasangan negara ini.