5 Wakil Malaysia Tembusi Kelompok 20 Terbaik Dunia
UltraSukan

Sektor beregu lelaki Malaysia terus melahirkan ramai pemain yang berkualiti untuk terus menggegarkan arena badminton dunia.

Ini selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai ranking terbaharu pada Selasa bagi acara beregu lelaki yang didominasi oleh pasangan dari Malaysia dalam kelompok 20 terbaik.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kekal sebagai beregu lelaki nombor satu negara di ranking kelima dunia ketika ini meskipun kecundang kepada lawan dari Chinese Taipei di pusingan kedua di Indonesia Open minggu lalu.

Ad

Sementara itu, naib juara Kejohanan Badminton Asia, Nir Izzuddin-Goh Sze Fei yang tampil penuh konsisten bagi musim 2024 ini menjadi pasangan kedua negara setelah menduduki ranking ke-13 dunia.

Pasangan sedang meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kini menjadi sandaran ketiga negara di ranking ke-16 dunia, turun satu anak tangga selepas muncul naib juara di Indonesia Open apabila tewas kepada wakil China di final.

Ad
Ad

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang merupakan beregu senior negara berada di kedudukan ke-18 dunia tatkala sedang berehat seketika dari menyertai sebarang kejohanan dengan kejohanan Asia di Ningbo menjadi aksi terakhir mereka.

Ad

Satu lagi pasangan muda negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri mencatatkan peningkatan mendadak apabila melonjak ke tangga ke-20 dunia setelah mempamerkan aksi memukau termasuklah ketika mara ke separuh akhir Australian Open Sabtu lalu.

Kedudukan tiga teratas bagi acara beregu lelaki menyaksikan tiada sebarang perubahan berlaku dengan pasangan China, Liang Weng Keng-Wang Chan unggul di posisi pertama sementara diikuti oleh beregu dari Denmark dan India.

Selepas ini, beberapa pemain negara seperti Cheam June Wei, Justin Hoh, S. Kisona dan ramai lagi bakal turun beraksi di Kaohsiung Masters di China yang bakal membuka tirai pada 18 Jun ini.

Olimpian negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini sedang dalam dalam persiapan terakhir sebelum menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 manakala beregu lelaki yang lain dijangka bakal kembali beraksi semula di Japan Open pada Ogos.