Nama Malaysia terus mendapat perhatian dunia badminton apabila pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei muncul juara kejohanan jemputan di China.
June Wei menyertai Lin Dan Cup yang diadakan di Stadium Bao’an di Shenzhen, Wilayah Guangdong, selatan China bermula 15 Jun hingga 16 Jun yang lalu yang turut disertai oleh nama-nama yang tidak asing seperti Heo Kwang Hee dan Son Wan Ho.
Pemain negara berusia 27 tahun itu tampil penuh garang untuk menewaskan lawannya, Ren Chengming dari China 22-10, 21-14 untuk merangkul gelaran juara Lin Dan Cup setelah bertarung hebat selama dua hari.
Dengan kejayaan manis ini, June Wei yang kini menduduki ranking ke-60 dunia akan membawa pulang wang kemenangan sebanyak 200,000 yuan sekitar RM131,000 sebagai juara.
Kejohanan jemputan ini dinamakan sempena pemain lagenda China yang juga pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, Lin Dan dan diadakan di lima lokasi berbeza dalam setahun.
Selepas ini, June Wei dijadualkan menyertai Kaohsiung Masters di China yang bakal membuka tirai pada 18 Jun dan mendapat bye di pusingan pertama untuk terus mara ke pusingan kedua kejohanan.
Selain June Wei, beberapa pemain negara turut sama akan turun beraksi di sana seperti bintang muda, Justin Hoh, Eogene Ewe, pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona dan ramai lagi