4 Pemain Import Terengganu Dapat Panggilan Antarabangsa
MakanBola
Terengganu FC

Empat pemain import Terengganu FC menerima panggilan antarabangsa untuk kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan Mac.

Empat pemain tersebut ialah Gervane Kastaneer, Ehson Panjshanbe, Kyaw Min Oo dan Shervoni Mabatshoev. Panggilan empat pemain ini diumumkan pengurusan Terengganu pada Selasa.

Kastaneer dipanggil jurulatih baharu Curacao, Fred Rutten bagi menghadapi dua aksi FIFA Series di Australia. Curacao dijangka berdepan China dan Australia pada 27 dan 31 Mac ini.

Ehson dan Shervoni pula dipanggil barisan kejurulatihan Tajikistan bagi menghadapi Filipina untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027.

Khidmat Min Oo pula ditagih bagi membantu Myanmar menghadapi baki dua aksi kelayakan Piala Asia 2027. Myanmar dijadual bertemu Afghanistan dan Pakistan pada 26 dan 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad melihat ini satu perkembangan baik buat pasukan itu.

Ini kerana empat tonggak import Peteh menjadi pilihan skuad kebangsaan masing-masing di peringkat antarabangsa. Beliau berharap lebih ramai pemain tempatan dipilih mewakili Harimau Malaya.

“Berbangga kerana pemain kita diiktiraf oleh pasukan kebangsaan mereka, masih menunggu senarai akhir pasukan Malaysia dikeluarkan tidak lama lagi dan berharap untuk melihat lebih ramai pemain tempatan kita mengikuti jejak yang sama untuk mewakili negara kita.

“Semoga ini menjadi motivasi kepada pemain TFC yang lain pada masa hadapan,”katanya.

Pemilihan empat tonggak ini memperlihatkan kualiti tonggak import yang dibawa Terengganu untuk kempen musim 2025/26.