Curacao Panggil Penyerang Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Khidmat penyerang Terengganu FC, Gervane Kastaneer ditagih skuad kebangsaan Curacao.

Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Curacao (FFK) mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih baharu pasukan itu, Fred Rutten.

Hal ini turut disahkan Kastaneer apabila ditanya oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. “Saya akan ke Australia untuk dua perlawanan persahabatan lawan China dan Australia,” katanya.

Sejak menyertai Terengganu pada Januari lalu, Kastaneer sudah meledakkan dua gol dan mencipta dua bantuan gol.

Curacao akan menghadapi dua aksi persahabatan sebagai sebahagian daripada saingan FIFA Series yang bermula pada tahun 2026.

Pasukan yang diberi jolokan The Blue Wave itu akan turun menentang China pada 27 Mac. Ini disusuli aksi menentang Australia pada 31 Mac.

Selain Kastaneer, Rutten turut memanggil bekas pemain Manchester United, Tahith Chong, bekas penyerang Brighton, Jurgen Locadia dan bekas pemain tengah Aston Villa, Leandro Bacuna.

Dua perlawanan itu juga merupakan tugasan pertama Rutten bersama Curacao. Sebelum ini, bekas jurulatih PSV Eindhoven itu merupakan pembantu jurulatih sebelumnya, Dick Advocaat.

Walau bagaimanapun, bekas jurulatih Korea Selatan itu terpaksa mengundur diri pada Februari lalu agar dapat fokus menjaga anak perempuannya yang kurang sihat.

Aksi menentang China dan Australia antara persiapan awal Curacao bagi menghadapi Piala Dunia 2026.