Penyerang Curacao, Gervane Kastaneer mahu memberi fokus kepada pasukan baharunya, Terengganu FC terlebih dahulu sebelum memikirkan peluang beraksi di Piala Dunia 2026.
Hal ini dinyatakan bekas pemain Persis Solo itu dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Kastaneer ingin fokus membantu Terengganu mengharungi baki kempen 2025/26 dengan cemerlang. Ini termasuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.
“Bagi saya secara peribadi, pasukan yang saya bermain di Indonesia tidak dalam keadaan baik. Kemudian, Terengganu membuat tawaran dan bagi saya, ia satu kelab yang besar dengan ramai pemain berkualiti bersama saya.
“Jadi, saya akan cuba membantu mereka dan mereka cuba membantu saya, kita akan lihat apa berlaku pada masa akan datang.
“Sekarang, fokus kepada Terengganu dahulu dan baru Piala Dunia yang berlangsung kemudian,” katanya.
Kastaneer membuat penampilan pertama bersama Peteh dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 1 Februari lalu.
Selain beliau, Terengganu turut mendapatkan Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev. Peteh turut mendapatkan Haqimi Azim Rosli secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
Kastaneer berharap dapat membuka akaun gol dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang KL City FC pada Jumaat.