Hasrat untuk melihat lebih ramai pemain Malaysia mempamerkan kualiti di pentas bola sepak Asia semakin menjadi realiti.
Para pemain yang mewakili kelab masing-masing membuktikan kesediaan mereka untuk terus memacu cabaran kelab bagi meneruskan langkah dengan baik.
Berikut merupakan barisan pemain Malaysia yang menyinar bersama kelab masing-masing.
1. Darren Lok (Sabah FC)
Penyerang kebangsaan ini mencipta fenomena di Asia bersama Sabah FC ketika membantu pasukan merekodkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Hougang United.
Beraksi di laman sendiri, pemain berusia 32 tahun ini meledak dua gol penting untuk memastikan The Rhinos memungut 3 mata penting.
Menurut penilaian Sofa Score, Darren Lok diberi penilaian tertinggi antara pemain Malaysia iaitu sebanyak 9.4 daripada 10 mata penilaian penuh.
2. Suhaimi Husin (Terengganu FC)
Penjaga gol berbakat ini menjadi watak penting untuk memastikan Terengganu membenam kelab gergasi Australia, Central Coast Mariners.
Pemain berusia 28 tahun ini merekodkan 6 penyelamatan, 4 penyelamatan dalam kotak penalti dan melakukan 26 hantaran jauh terutamanya ketika skuad Peteh melakukan serangan balas pantas.
Terengganu mencatatkan kemenangan 1-0 berbekalkan kecemerlangan pertahanan pasukan menafikan setiap peluang yang dimiliki oleh lawan.
Suhaimi diberikan penilaian 7.8 dan menjadi pemain paling tunggi dinilai pada aksi tersebut.
3. Shahrul Nizam Roshasni (Terengganu FC)
Pertahanan kental ini sekali lagi membuktikan kualitinya bersama Terengganu di pentas tertinggi Asia.
Beliau jelas mampu menyerap tekanan selain melakukan beberapa hadangan penting untuk memastikan anak didik Tomislav Steinbruckner tidak dibolosi.
Menerusi penilaian Sofa Score, pemain yang mesra disapa Nijey ini merekokan 7.5 penilaian selepas melakukan 3 pengeluaran bola, 3 hadangan penting, 2 pintasan bola dan memenangi kesemua pertarungan bola di atas padang.
Sharul Nizam juga merekodkan 92 peratus ketepatan hantaran sepanjang 90 minit beraksi di atas padang.
4.Matthew Davies (JDT)
Pertahanan kental JDT ini menjadi tunjang utama Harimau Selatan ketika menentang Kawasaki Frontale tempoh hari.
Sungguhpun tewas tipis dengan keputusan 1-0, pemain berusia 28 tahun ini kekal konsisten memperagakan aksi terbaik.
Davies mencatatkan dua pengeluaran bola, dua hadangan, 4 bentesan, 4 hantaran lintang dan memenangi 5 pertarungan bola di atas padang.
Persembahan beliau dinilai sebanyak 7.1 daripada 10 penilaian penuh berdepan lawan yang cukup hebat.