Bekas pemain sayap Negeri Sembilan FC, A. Selvan menjadi rekrut baharu pertama Selangor FC untuk menghadapi musim 2026/27.
Perpindahan pemain sayap berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi mereka.
“Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain sayap kanan kebangsaan, A. Selvan, sebagai pemain baharu Gergasi Merah bagi menghadapi kancah Liga Malaysia musim hadapan.
“Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Selangor FC selepas mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super Malaysia sebelum ini. Dikenali dengan kepantasan luar biasa, keberanian mengasak lawan serta memiliki ‘work- rate’ yang tinggi, Selvan dijangka mampu menambah dimensi baharu kepada jentera serangan Gergasi Merah.
“Selain beraksi di posisi sayap kanan, Selvan turut memiliki keupayaan untuk bermain dalam beberapa peranan di bahagian serangan dan bertahan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon, menjelang musim baharu,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selepas melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi Lembah Klang itu, Selvan mengakui teruja membantu Selangor tampil lebih cemerlang untuk musim 2026/27.
“Menyertai Selangor FC merupakan satu cabaran yang saya nantikan. Saya mahu menguji kemampuan diri untuk bersaing di tahap tertinggi dan pada masa yang sama membantu Gergasi Merah melangkah sejauh mungkin dalam setiap pertandingan yang disertai.
“Kelab ini mempunyai cita-cita yang besar dan saya teruja untuk menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Pan-gon melihat Selvan memiliki profil yang sesuai dengan falsafah dan identiti permainan Selangor yang mahu diterapkan.
“Selvan merupakan antara pemain yang memiliki kepantasan dalam negara ketika ini. Kepantasannya merupakan satu kelebihan yang besar, namun apa yang lebih menarik perhatian saya ialah etika kerjanya yang tinggi serta komitmennya di atas padang.
“Di Selangor FC, kami mahu menerapkan corak permainan yang pantas, dinamik dan agresif ketika menyerang. Selvan dilihat sesuai dengan falsafah tersebut.
“Selain itu, beliau juga mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian kanan, sekali gus memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pasukan. Saya percaya beliau akan membawa tenaga, intensiti dan kualiti yang mampu memperkukuhkan skuad musim ini,” ujarnya.
Selvan menjadi rekrut pertama Selangor selepas melepaskan 12 pemain dari kempen musim lalu. Ini termasuk pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes dan bek tengah Senegal, Mamadou Diarra.