Selangor FC mengumumkan perpisahan dengan pemain sayap import, Alvin Fortes selepas dua musim penuh bersama skuad Gergasi Merah.
Menerusi satu kenyataan rasmi, kelab itu merakamkan penghargaan kepada pemain kebangsaan Cape Verde tersebut atas segala sumbangannya sepanjang menyarung jersi merah dan kuning serta mendoakan kejayaannya dalam fasa baharu karier.
Fortes yang menyertai Selangor pada 4 Februari 2024 pantas membuktikan kemampuannya apabila muncul antara pemain paling menyerlah dalam jentera serangan pasukan.
Sepanjang dua musim bersama Selangor, pemain berusia 32 tahun itu merekodkan 79 penampilan dengan jumlah 5,085 minit permainan selain menyumbang 33 gol dan 17 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Musim pertamanya bersama Gergasi Merah menjadi antara yang paling cemerlang apabila beliau menjaringkan 20 gol serta mencipta tujuh bantuan jaringan, sekali gus memenangi anugerah Best Signing dan Player of the Season pada SFC Fans’ Choice Awards 2024/25.
Fortes turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain Selangor yang berjaya menjaringkan gol dalam lima kejohanan berbeza pada musim 2024/25 iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan AFC Champions League Two.
Selain pencapaian individu, sumbangannya membantu Selangor menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua buat dua musim berturut-turut, sekali gus melayakkan pasukan ke saingan AFC Champions League Two bagi musim 2024/25 dan 2025/26 serta ACC Shopee Cup 2025/26.
Beliau juga memainkan peranan penting ketika Selangor mara ke pentas final Piala FA selain membantu kelab muncul juara MFL Challenge Cup.
Antara aksi yang paling diingati penyokong termasuk dua gol ketika menewaskan Perak FC di Ipoh pada Disember 2024, aksi cemerlang menentang Terengganu FC serta jaringan sepakan percuma menarik ketika bertemu Penang FC baru-baru ini.
Prestasi konsisten bersama Selangor turut membuka semula peluang Alvin Fortes di pentas antarabangsa apabila beliau dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan Cape Verde pada tahun 2025 selepas kali terakhir mewakili negaranya pada 2018.
Selangor menyifatkan Fortes sebagai antara pemain paling berbahaya di bahagian sayap sepanjang tempohnya di kelab itu, selain mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan dedikasi yang dicurahkan sepanjang dua musim bersama Gergasi Merah.