Alvin Fortes Tak Sangka Dipanggil Cape Verde Lawan Malaysia
MakanBola
FCF

Pemain sayap Selangor FC, Alvin Fortes mengakui terkejut apabila namanya dipanggil Cape Verde untuk tiga aksi antarabangsa membabitkan pasukan itu.

Kali terakhir pemain sayap berusia 31 tahun itu membuat penampilan buat The Blue Sharks ialah Jun 2018. Pada ketika itu, Cape Verde menentang pasukan gergasi Afrika Utara, Algeria.

Algeria yang ketika itu dibarisi nama besar seperti Riyad Mahrez, Nabil Bentaleb dan Yacine Brahimi tumbang 3-2 di tangan The Blue Sharks.

Lebih manis, Fortes diberi peluang membuat satu-satunya penampilan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.

Bekas pemain Ratchaburi itu mengakui terkejut apabila menerima panggilan menyertai skuad Afrika itu. Pada masa sama, beliau juga mahu memanfaatkan peluang keemasan ini sebaik mungkin.

“Siapa sangka saya akan terpilih untuk panggilan setelah sekian lama? Saya yakin barisan kejurulatihan Cape Verde mempunyai perancangan tersendiri (menentang Harimau Malaya).

“Ini dilihat satu peluang keemasan buat saya,” katanya seperti yang dikongsikan pengurusan Selangor.

Malaysia dan Cape Verde akan berentap di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei. Ini disusuli aksi tertutup kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.