Kedudukan ranking beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatatkan sedikit penurunan.
Menerusi kemas kini dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan ranking Aaron-Wooi Yik jatuh 2 anak tangga berbanding di kedudukan ketiga sebelum ini.
Pasangan negara ini berjaya mengekalkan status sebagai beregu ketiga dunia untuk beberapa minggu sebelum ini, ditambah kejayaan merangkul pingat gangsa di Olimpik Paris lalu.
Walau bagaimanapun, masalah kecederaan yang menimpa Soh Wooi Yik di Paris lalu menyebabkan beregu negara ini terlepas beberapa kejohanan seperti Japan Open, Korea Open dan Hong Kong Open.
Oleh itu, kedudukan ranking Aaron-Wooi Yik dipintas oleh juara Sukan Asia, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dari India yang catat kenaikan 2 anak tangga untuk berada di ranking ketiga dunia.
Manakala, juara dunia 2023, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae kekal di tangga keempat, hanya dibezakan 600 mata mengatasi Aaron-Wooi Yik di tempat kelima dunia ketika ini.
Juara Japan Open, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei tidak jauh di belakang dengan 64826 mata untuk berada di ranking ke-12 dan dua lagi pasangan muda negara turut berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.
Aaron-Wooi Yik masih lagi berehat dalam fasa pemulihan manakala pasangan beregu lelaki negara yang lain berada di Hong Kong untuk beraksi dalam kejohanan Super Series 500 di sana.