Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal melalui perlawanan yang sengit dengan pesta gol terhasil ketika bertemu wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain pada aksi AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Al-Hilal menurunkan skuad terkuat dengan Aleksandar Mitrovic menjadi penyerang tunggal manakala Neymar kembali dengan memulakan perlawanan di bangku simpanan. Penyerang Maghribi, Soufiane Rahimi tampil menjadi harapan utama Al-Ain dalam memburu gol.
Al-Ain memulakan perlawanan dengan agak baik apabila menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran yang tepat.
Pemain pertahanan kiri, Renan Lodi terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pertama perlawanan pada minit ke-26 melalui rembatan leret deras yang menewaskan penjaga gol Al-Ain, Khalid Eisa.
Ketinggalan satu jaringan, Al-Ain cuba memperkemaskan corak permainan bagi memburu jaringan penyamaan.
Hasilnya, Soufiane Rahimi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39 selepas penyerang berbisa itu menyambar hantaran Erik di bahagian kiri. Kedudukan berubah menjadi terikat 1-1.
Ketika aksi separuh masa pertama hampir ditamatkan, Al-Hilal menambah dua jaringan untuk kembali di hadapan melalui tandukan Sergej Milinkovic-Savic dan Salem Al-Dawsari sekali gus menamatkan aksi babak pertama dengan kedudukan 3-1 mendahului Al-Ain.
Bersambung babak kedua, Al-Ain tampak lebih agresif dalam memburu jaringan bagi merapatkan kedudukan.
Serangan bertali arus tuan rumah berjaya membuahkan hasil selepas pemain gantian, Mateo Sanabria menjaringkan gol kedua Al-Ain pada minit ke-67 dan merapatkan kedudukan menjadi 3-2.
Kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Al-Hilal kembali menjarakkan kedudukan melalui jaringan keempat yang dijaringkan sekali lagi oleh Salem Al-Dawsari empat minit kemudian selepas ketua pasukan itu menyempurnakan hantaran menarik daripada Milinkovic-Savic.
Soufiane Rahimi kembali memberikan harapan kepada penyokong tuan rumah dengan jaringan ketiga Al-Ain empat minit kemudian melalui rembatan deras bagi mengubah kedudukan menjadi 4-3.
Pesta gol terus terhasil dalam perlawanan ini dengan Al-Hilal berjaya mendapatkan gol kelima menerusi penyudah Salem Al-Dawsari pada minit ke-75 sekali gus melengkapkan hatrik beliau pada perlawanan ini.
Kegembiraan Salem hanya bertahan dua minit selepas beliau terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan bintang ternama, Neymar.
Neymar hampir meledak pada minit ke-86 namun rembatannya berjaya ditepis oleh Khalid Eisa.
Al-Hilal menerima tamparan hebat selepas pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah buat Khalid Al Bulayhi selepas VAR mengesan pertahanan tinggi lampai itu sengaja menggunakan tangan dalam usaha menyelamatkan bola.
Ketika perlawanan hampir tamat, pemain gantian Al-Hilal, Khalim Al-Dawsari dikesan mengasari Soufiane Rahimi dalam kotak penalti dan sepakan penalti dihadiahkan buat Al-Ain.
Soufiane Rahimi yang mengambil sepakan tersebut tenang menyempurnakan penalti tersebut sekali gus menamatkan perlawanan dengan kedudukan 5-4 memihak kepada Al-Hilal.
Kemenangan ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Al-Hilal dalam saingan ACLE musim ini. Manakala Al-Ain masih belum meraih sebarang kemenangan setakat ini.