Kualiti pengadilan pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin terus menyinar di pentas antarabangsa.
Ini selepas Nazmi dipilih sebagai pengadil aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain dan juara Saudi Pro League (SPL), Al-Hilal.
Meskipun aksi ini menampilkan ramai bintang antarabangsa seperti Soufiane Rahimi, Aleksandar Mitrovic, Neymar dan Joao Cancelo, pengadil Malaysia itu bijak mengawal disiplin perlawanan.
Ini termasuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan The Blue Waves, Ali Albulayhi. Nazmi melayangkan kad merah kepada bek tengah berusia 34 tahun itu selepas beliau didapati menahan bola dengan tangan.
Hatrik Salem Al-Dawsari membantu Al-Hilal menewaskan Al-Ain 5-4. Perlawanan ini turut menyaksikan Neymar membuat kemunculan pertamanya selepas berehat selama 369 hari.
Prestasi beliau turut menjadi sebutan pengulas sukan Astro Arena, Aiman Roshizam. “Rasanya, harapnya, pengadil kita merasa jadi tumpuan di Piala Dunia. Nazmi Nasaruddin,” katanya di X.
Ini bukan kali pertama Nazmi diberi amanah mengendali aksi ACLE. Sebelum ini, beliau turut diberi tanggungjawab mengendali aksi ACLE antara Central Coast Mariners dan Buriram United pada 1 Oktober lalu.
Selain itu, Nazmi turut diberi kepercayaan mengendali beberapa aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia. Ini termasuk aksi Kumpulan C antara Australia dan China pada 10 Oktober lalu.
Malah, khidmat Nazmi turut digunakan untuk aksi Liga 1 Indonesia antara Persib Bandung dan Persija Jakarta pada 23 September lalu. Kualiti pengadilan beliau yang cemerlang turut mendapat pujian jurulatih Persib dari Croatia, Bojan Hodak.