ACL: Guangzhou ‘Milik’ JDT
Asia
Johor Southern Tigers
Advertisements

Perlawanan kelima kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) menemukan Guangzhou FC yang beraksi selaku ‘tuan rumah’ bertemu wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT). Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan buat JDT yang menumbangkan Guangzhou dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan baik oleh JDT dengan menguasai perlawanan dan bertukar-tukar hantaran pendek. Perlawanan ini juga menyaksikan beberapa pemain JDT yang jarang diturunkan seperti Syamer Kutty dan Akhyar Rashid berada dalam kesebelasan utama.

Hasil penguasaan permainan secara menyeluruh oleh JDT, akhirnya pada minit ke-16, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Bergson dikasari di dalam kotak penalti. Bergson yang mengambil sepakan penalti tersebut tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol lawan, Zhang Jihao.

Advertisements

Selepas gol tersebut terhasil, JDT meneruskan penguasaan bola dan kesemua pemain Guangzhou dilihat berkampung di kawasan sendiri untuk menantikan waktu terbaik untuk melancarkan serangan balas.

Bergson hampir menggandakan jaringan buat JDT pada minit ke-32 namun tandukan yang dilakukan hasil hantaran Syahmi Safari terkena palang manakala percubaan susulan hasil sepakan gunting daripada beliau juga tersasar.

Disiplin bertahan pasukan Guangzhou dalam perlawanan ini sangat baik sekali. Ianya sekaligus menyulitkan pemain JDT untuk menjaringkan gol.

Advertisements

Separuh masa pertama ditamatkan tanpa tambahan jaringan dengan kelebihan kekal memihak JDT 1-0 hasil jaringan penalti dari Bergson.

Bersambung babak kedua, JDT meneruskan penguasaan bola. Corak permainan kedua-dua pasukan dilihat masih sama seperti separuh masa pertama dengan Guangzhou meletakkan semua pemain mereka di bawah untuk bertahan.

Shahrul Saad hampir menjaringkan gol pada minit ke-62 hasil sepakan sudut dari Arif Aiman. Namun tandukan Shahrul sedikir tersasar.

Advertisements

Pada minit ke-67, Bergson hampir menggandakan kedudukan namun tandukan beliau hasil sepakan percuma Safiq Rahim berjaya diselamatkan penjaga gol Guangzhou.

Kemasukan pemain tengah berpengalaman, Safiq Rahim dilihat menambah kreativiti di bahagian tengah JDT dalam usaha mereka untuk menambah jaringan.

Disipilin bertahan yang sangat konsisten oleh para pemain Guangzhou ternyata menyukarkan pemain JDT membawa bola masuk ke dalam kawasan penalti.

Advertisements

Ketika perlawanan hampir tamat, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan dalam kotak penalti. Bergson yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol Guangzhou untuk menggandakan kedudukan menjadi 2-0 memihak JDT.

Wisel penamat ditiupkan selepas gol penalti Bergson itu sekaligus mengesahkan kemenangan kepada JDT. Kemenangan ini meletakkan JDT berada di takhta kumpulan I dengan 10 mata berkongsi mata dengan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

JDT akan bertemu Ulsan Hyundai pada 30 April ini. JDT perlu menang dalam perlawanan tersebut untuk mencerahkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram