China berpeluang mengelak daripada mengulangi kesilapan ketika menentang Malaysia pada 2023.
Portal 163.com menjangkakan China yang dibimbing Shao Jiayi bakal memanggil skuad terkuat untuk dua aksi antarabangsa pada November ini.
Ini kerana ini peluang terbaik buat pasukan Dragon Team itu bangkit selepas tewas dalam tiga aksi terakhir mereka.
Selepas memenangi aksi menentang Maldives, anak buah Jiayi tunduk kepada New Zealand, Palestin dan Tajikistan.
Ini ditambah dengan jurulatih interim kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak memanggil pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kem Malaysia kali ini.
Justeru, media China menggesa Jiayi memanfaatkan sepenuhnya peluang menentang Harimau Malaya dan meraih kemenangan demi memulihkan moral pasukan itu.
Aksi pada 2023 menyaksikan China menurunkan barisan terkuat termasuk tiga tonggak naturalisasi, Elkeson, Li Ke (Nico Yennaris) dan Jiang Guangtai (Tyias Browning).
Hal itu tidak menghalang Harimau Malaya mengikat China 1-1. Lebih menarik, Malaysia terlebih dahulu di hadapan menerusi kapten Selangor FC, Faisal Halim.
Justeru, media China melihat hanya kemenangan sebagai keputusan yang boleh diterima penyokong pasukan itu.
Jika anak buah Jiayi hanya merekodkan keputusan seri atau tewas di tangan anak buah Cheng Hoe, ini berpotensi menambah lagi tekanan buat legenda China itu.
Ini ditambah beberapa jurulatih bakal bergelar ejen bebas menjelang Januari 2027 terutama selepas Piala Asia ditangguhkan sehingga Disember tahun sama. Antaranya jurulatih Australia, Tony Popovic dan pengendali Uzbekistan, Fabio Cannavaro.
Selain Malaysia, China juga dijadual bertemu Bahrain dalam kalendar antarabangsa kali ini.


