ACL: Ulsan Terkulai Layu Di Tangan JDT
Dunia
Johor Southern Tigers
Advertisements

Perlawanan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menemukan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Ulsan Hyundai. Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi, keputusan memihak kepada JDT yang berjaya menewaskan Ulsan dengan jaringan 2-1.

Perlawanan dimulakan oleh Ulsan Hyundai dengan mereka mula menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran pendek manakala JDT menanti untuk melancarkan serangan balas.

JDT secara tiba-tiba mengejutkan Ulsan seawal minit ke-3 perlawanan apabila Fernando Forestieri berjaya menjaringkan gol melalui rembatan dari luar kotak penalti. Rembatan tersebut mematikan langkah penjaga gol Ulsan, Jo Hyeon Woo sekali gus menjadikan kelebihan buat JDT 1-0 mengatasi Ulsan.

Advertisements

Pada minit ke-8, Arif Aiman berpeluang untuk menjaringkan gol namun rembatan kaki kiri beliau dari luar kotak penalti dilihat lemah dan mudah ditangkap penjaga gol Ulsan.

Ulsan dilihat menguasai perlawanan dengan saling bertukar-tukar hantaran dalam usaha mereka mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan.

Nazmi Faiz berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-25 melalui satu rembatan deras dari luar kotak penalti namun penjaga gol Ulsan sekali lagi bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut.

Advertisements

Dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan, para pemain Ulsan dilihat buntu untuk menembusi barisan pertahanan JDT yang dibarisi Shane Lowry, Shahrul Saad dan Matthew Davies.

Ulsan mempunyai 2 peluang terbaik melalui Leonardo dalam tempoh dua minit namun kecekapan Haziq Nadzli dan tiang gol menjadi penghalang untuk jaringan gol Ulsan.

Serangan terus dilacarkan Ulsan untuk mencari gol penyamaan. Kali ini mereka banyak menggunakan bahagian sayap namun setiap serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan dan penjaga gol JDT.

Advertisements

Nazmi Faiz hampir menggandakan kedudukan buat JDT pada minit ke-42, namun rembatannya sekali lagi dinafikan penjaga gol.

Separuh masa pertama ditamatkan tanpa sebarang tambahan jaringan dan kedudukan kekal memihak JDT 1-0 mengatasi Ulsan.

Bersambung babak kedua, Ulsan terus mengawal permainan dengan bertukar-tukar hantaran pendek. Para pemain JDT perlu diberikan pujian apabila tanpa kenal erti penat melakukan tekanan tinggi ke atas pemain Ulsan.

Advertisements

Leonardo hampir saja menjaringkan gol pada minit ke-49 namun rembatannya sedikit tersasar ke kanan gawang gol JDT.

Ulsan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52 melalui pemain gantian Um Won-sang yang mudah merembat masuk hasil umpanan rakan sepasukan sekaligus menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Forestieri mempunyai peluang keemasan pada minit ke-55 namun rembatannya sedikit tersasar walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-65, Bergson punyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun rembatan derasnya membias kepada pertahanan lawan dan melambung tinggi.

Ulsan hampir menambah jaringan selepas penyerang mereka Vako Qazaishvili berjaya melepaskan rembatan lencong dalam kotak penalti JDT namun rembatannya sedikit tersasar.

Bergson akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-80 hasil umpanan kemas dari Safawi Rasid. Bergson berjaya memperdaya pertahanan lawan dan merembat lencong menewaskan Jo Hyeon Woo di gawang Ulsan sekaligus menjadikan kedudukan 2-1 memihak JDT.

Ulsan meneruskan serangan untuk menyamakan kedudukan namun benteng pertahanan JDT dilihat sangat ampuh dengan hampir kesemua pemain JDT berada di bawah untuk mempertahankan kedudukan

Perlawanan ditamatkan selepas tiada tambahan jaringan sekaligus menghadiahkan kemenangan bermakna buat JDT menewaskan juara Liga Juara-Juara AFC 2020, Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1. Kemenangan itu sekaligus menjadikan JDT kini berada di tangga teratas kumpulan I dengan 6 mata selepas dua perlawanan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram