ACL2: Bangkok United Kejutkan Gamba Osaka Di Jepun
MakanBola
True Bangkok United

Bangkok United mencipta kejutan dengan menewaskan wakil Jepun, Gamba United dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Bangkok United berharap dapat meneruskan momentum rantau ASEAN ke pentas final. Gamba pula berharap dapat memburu tiket final sekaligus berpeluang mengulangi kecemerlangan tahun 2008.

Muhsen Al-Ghassani menjadi sandaran gol Bangkok United di bumi Jepun. Deniz Hummet menjadi pilihan jurulatih Gamba, Jens Wissing.

Gamba ditimpa malang apabila Bangkok United dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-14. Ini selepas pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin mengesan bola terkena tangan pemain tuan rumah.

Muhsen tenang menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Gamba, Masaaki Higashiguchi untuk meletakkan Bangkok United di hadapan.

Gamba berusaha mencari gol penyamaan tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan dengan sokongan padu penyokong di Stadium Panasonic Suita.

Wissing mengambil langkah memasukkan dua pemain gantian, Welton dan Harumi Minamino dengan harapan dapat menambah ketajaman di bahagian serangan.

Tatkala Gamba mengasak, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Shinnosuke Nakatani diarah keluar padang oleh Nazmi.

Pada awalnya, tiada sebarang kad dilayangkan terhadap beliau. Selepas Nazmi melihat semula insiden itu di monitor, beliau tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Nakatani.

Gamba berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Bangkok United membawa bekalan satu gol untuk aksi timbal balik di Thailand pada 15 April ini.

Sofascore memilih kapten Bangkok United, Everton Goncalves sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5.