Advertising
ACL2: Lion City Sailors Bergaya Ke Suku Akhir, Tundukkan Muangthong United
MakanBola
Lion City Sailors FC

Lion City Sailors (LCS) mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dengan mengatasi Muangthong United dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik.

Selepas meraih kemenangan berharga 3-2 di Thailand, The Sailors hanya perlu mempertahankan kelebihan agregat mereka. The Kirins pula perlu menyumbat satu gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Shawal Anuar diberi amanah mengetuai jentera serangan LCS. Melvyn Lorentzen dan Emil Roback menjadi sandaran gol jurulatih Muanthong, Gino Lettieri.

Ad

The Sailors tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi penalti Maxime Lestienne.

Ini selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Kittipong Phuthawchuek ke atas Shawal dalam kotak penalti.

Ad
Ad

Tersentak, The Kirins melancarkan asakan demi asakan menerusi Lorentzen dan Roback. Malangnya, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan LCS diketuai bek tengah Australia, Bailey Wright.

Ad

Sebaliknya, tuan rumah menggandakan kelebihan mereka pada minit akhir babak pertama. Serangan pantas Shawal pantas disudahkan Bart Ramselaar untuk menjadikan keputusan 2-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Lettieri memasukkan Poramet Arjvirai dan Songwut Kraikruan untuk mengubah momentum perlawanan.

Malangnya, apa yang dihajatkan bekas MSV Duisburg itu tidak berlaku. Sebaliknya, Shawal menyumbat gol ketiga LCS pada minit ke-63.

Penyerang Singapura itu berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melambungkan bola ke dalam gawang pelawat.

Thiraphon Yoyoei hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-72. Malangnya, tandukannya tersasar selepas menerima hantaran Purachet Thodsanit.

Shawal menyumbat gol keempat pada minit ke-88 bagi memastikan keputusan 4-0 pada akhir perlawanan. Keputusan agregat 7-2 ini menyaksikan tiada lagi wakil Thailand beraksi dalam saingan ACL2.

Ini kerana dua lagi wakil negara itu, Port FC dan Bangkok United turut tersingkir selepas tewas kepada lawan masing-masing. LCS dijangka bertemu dengan Sanfreece Hiroshima di peringkat suku akhir.

Sofascore memilih Shawal sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau mengatasi Ramselaar yang mendapat markah 8.0.

Selepas ini, LCS bakal bertemu Balestier Khalsa pada 23 Februari. Muangthong pula bakal bertemu dengan Buriram United pada hari yang sama.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments