Lion City Sailors (LCS) meraih bekalan tiga gol apabila menewaskan kelab Thai League 1, Muangthong United dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
The Kirins mahu meneruskan rentak kemenangan kepada empat kemenangan. The Sailors pula mahu bangkit di pentas Asia selepas dimalukan Kaya FC-Iloilo dalam aksi terakhir Shopee Cup.
Pengendali Muangthong, Gino Lettieri menurunkan bek tengah baru dari Korea Selatan, Hong Jeong-un. Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mengetuai cabaran LCS.
Babak pertama menyaksikan penyerang berbisa Singapura, Shawal Anuar meledakkan gol seawal minit pertama.
Penyerang berusia 33 tahun itu menerima hantaran Maxime Lestienne sebelum menewaskan penjaga gol Muangthong, Kittipong Phuthawchuek.
The Kirins seakan tidak percaya apabila pengadil Korea Selatan, Kim Jong-hyeok menganugerahkan sepakan penalti tujuh minit selepas itu.
Ini selepas bek kiri LCS, Diogo Costa dikasari Purachet Thodsanit dalam kotak penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Lestienne bagi menjadikan kedudukan 2-0 buat kelab gergasi Singapura itu.
Tersentak, Lettieri memasukkan Korawich Tasa menggantikan Purachet pada minit ke-18. Perubahan tersebut gagal menghalang The Sailors menjaringkan gol ketiga sembilan minit selepas itu.
Kali ini, giliran bekas pemain tengah Utrecht, Bart Ramselaar pula mencipta nama sebagai penjaring LCS.
The Kirins berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Lettieri bertindak mengeluarkan kapten, Picha Austra dan memasukkan pemain tengah berusia 19 tahun, Siradanai Phosri.
Poramet Arjvirai hampir menyumbat gol pertama Muangthong pada minit ke-48. Malangnya, percubaan penyerang Thailand itu dinafikan Izwan Mahbud.
LCS kemudiannya ditimpa malang apabila Jong-hyeok melayangkan kad merah kepada Song Ui-young pada minit ke-52. Ini selepas pemain tengah Singapura itu dikesan menyiku Siradanai.
Kelebihan 11 pemain itu dimanfaatkan The Kirins di atas padang. Hasilnya, Melvyn Lorentzen menanduk gol pertama Muangthong pada minit ke-58.
LCS kemudiannya memasukkan Zharfan Rohaizad menggantikan Izwan pada minit ke-76. Ini selepas penjaga gol berusia 34 tahun itu tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.
Muangthong terus berusaha mencari gol tambahan dan berjaya melakukannya menerusi Tristan Do pada minit akhir perlawanan. Walau bagaimanapun, keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan LCS memiliki kelebihan tiga gol untuk aksi timbal balik pada 20 Februari.
Sofascore memilih Lestienne sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Beliau dicabar Tristan yang meraih 8.1 mata.