Selangor terpaksa melupakan khidmat dua tonggak tengah, Mukhairi Ajmal dan Alex Agyarkwa untuk menghadapi aksi pembuka tirai kumpulan H AFC Champions League 2 (ACL2).
Aksi minggu pertama ACL2 bakal menyaksikan wakil negara, Selangor kembali menghiasi saingan bola sepak Asia setelah kali terakhir beraksi dalam saingan AFC Cup 2016.
The Red Giants juga hadir ke Thailand kali ini berbekalkan semangat baharu setelah mencatat kemenangan besar 4-0 mengatasi Kuching City Sabtu lalu dalam kempen Liga Super.
Walau bagaimanapun, skuad kendalian Nidzam Jamil bakal turun bertemu Muangthong United tanpa dua jeneral tengah, Mukhairi Ajmal dan Alex Akyarkwa yang masih mengalami kecederaan.
”Alex Agyarkwa dan Mukhairi Ajmal, kami tidak disenaraikan kali ini, mereka kini sedang menjalani program pemulihan,” katanya ketika sidang media pra perlawanan.
”Selain daripada itu, (tiada) hanya Alex Agyarkwa dan Mukhairi Ajmal yang tidak bersama untuk aksi pertama ini (bertemu Muangthong United),” tambah bekas jurulatih Felda United itu.
Pertemuan sengit antara Muangthong United dan Selangor bakal berlangsung di Stadium Nasional Rajamangal pada Khamis dengan sepak mula jam 6 petang waktu tempatan.
Selain Selangor dan Muangthong United, kumpulan H juga terdiri daripada jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dan Cebu FC dari Filipina.