ACLE: 5 Calon Pengganti Jonathan Silva & Oscar Arribas
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu mempertimbang beberapa calon bagi menggantikan posisi Jonathan Silva dan Oscar Arribas menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE) bertemu Vissel Kobe.

Misi wajib menang digalas oleh JDT pada aksi menentang Vissel Kobe nanti dalam usaha untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.

Tugas tersebut bagaimanapun tampak berliku selepas dua tonggak utama, Jonathan Silva dan Oscar Arribas terpaksa disisihkan akibat penggantungan ketika bertemu Sanfrecce Hiroshima minggu lalu.

Jonathan Silva dillayangkan kad merah kerana menghalang bola menggunakan tangannya di atas garisan gol manakala Oscar Arribas pula mengutip kad kuning ketiganya semasa aksi tersebut.

Maka, beberapa nama dilihat sebagai calon pengganti yang ideal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh dua pemain sayap lincah berkenaan pada aksi penting bertemu Vissel Kobe ini.

1- Marcos Guilherme

Prestasi Marcos Guilherme ketika ini mula mendapat rentak selepas pemain berusia 30 tahun ini sudah menjaringkan 3 gol dalam 3 aksi terakhir dan mampu mengisi kekosongan di posisi sayap.

Kepantasan dan ketajaman penyudah yang dimiliki Marcos Guilherme dilihat sebagai calon tepat untuk menggantikan tempat Jonathan Silva dan Oscar Arribas baik di sebelah kiri atau kanan.

2- Manuel Hidalgo

Kelibat Oscar Arribas sebelum ini banyak bergerak di sebelah sayap kanan bagi mengisi kekosongan Arif Aiman yang alami kecederaan dan kini Manuel Hidalgo tampak sebagai calon terbaik untuk berada di posisi ini.

Sayap kanan ini sememangnya tidak asing lagi untuk Manuel Hidalgo yang sering kali dimainkan di posisi ini ketika beraksi bersama skuad Sri Pahang dan Kedah Darul Aman sebelum ini.

3- Yago Cesar

Seorang lagi pemain sayap baharu yang dibawa masuk JDT pada jendela perpindahan lalu dan berpotensi untuk tampil mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Oscar Arribas dan Jonathan Silva.

Kebolehan Yago Cesar untuk bermain di kedua-dua belah sayap menjadi satu nilai tambah kepada Xisco Munoz bagi merencana pelan terbaik untuk mengoptimumkan kelebihan di posisi tersebut.

4- Teto Martin

Walaupun lebih banyak bermain di posisi tengah menyerang, namun Teto Martin mampu menjadi salah satu pilihan terbaik untuk diletakkan di sebelah sayap dengan kelebihan penting bagi membantu jentera serangan.

Kelincahan Teto Martin mampu untuk menggerakkan sayap JDT dengan baik ketika di fasa menyerang namun perlukan bantuan tambahan dari rakan sepasukan apabila berada di fasa bertahan bersama.

5- Ager Aketxe

Pilihan lain mengisi ketiadaan Oscar Arribas serta Jonathan Silva di sebelah sayap adalah Ager Aketxe yang mempunyai pengalaman untuk beraksi di posisi tersebut selain bermain sebagai pemain tengah.

Kemampuan besar yang dimiliki oleh Ager Aketxe dari aspek merencana idea ketika memulakan serangan begitu penting ketika JDT mahu melancarkan serangan dari sebelah kanan atau kiri.

Perlawanan JDT vs Vissel Kobe dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula tepat jam 8.15 malam secara langsung di Astro Arena Bola.