Al-Ahli SC mengesahkan tempat ke final AFC Champions League Elite (ACLE) selepas mempamerkan kebangkitan ketika menewaskan Vissel Kobe pada aksi separuh akhir.
Pertembungan separuh akhir ACLE menemukan Vissel Kobe dan Al-Ahli dengan kebangkitan dramatik dilakar oleh kelab gergasi Arab Saudi tersebut bagi melangkah ke final sekali lagi musim ini.
Al-Ahli melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan membawa masuk bekas pertahanan Juventus, Merih Demiral bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Ali Majrashi.
Barisan pemain Vissel Kobe menyaksikan nama-nama seperti Yuya Osako, Yoshinori Muto, Gotoku Sakai serta penjaga gol, Daiya Maekawa kekal menggalas misi penting pasukan pada aksi ini.
Suasana riuh di stadium bertukar senyap seketika apabila Yoshinori Muto meletakkan Vissel Kobe di hadapan pada minit ke-31 selepas bijak menyambar hantaran lintang Yuya Osako.
Babak kedua bersambung dengan Al-Ahli terus mengasak hinggalah rembatan kencang Wenderson Galeno dari luar kotak penalti terus menerjah gawang Vissel Kobe di minit ke-62.
8 minit berselang, bintang kebangsaan England, Ivan Toney mencuri tumpuan dengan jaringan kedua buat Al-Ahli hasil tolakan mudah gara-gara kealpaan barisan benteng Vissel Kobe.
Pertembungan di King Abdullah Sports City berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Al-Ahli sekali gus membawa juara bertahan itu ke peringkat akhir buat kali kedua berturut-turut.