ACLE: Impian JDT Ke Separuh Akhir Disekat Juara Bertahan, Al-Ahli
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Arab Saudi, Al-Ahli bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Al-Ahli berharap dapat meneruskan momentum untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu. JDT pula berharap dapat melakar satu lagi sejarah dengan mara ke separuh akhir.

Bekas bintang Manchester City, Riyad Mahrez menjadi nadi kreatif Al-Ahli. Jairo da Silva mengetuai jentera serangan JDT.

Separuh masa pertama menyaksikan Al-Ahli cuba mencari gol awal menerusi Mahrez, Ivan Toney, Galeno dan Matheus Goncalves.

Seperti diramal jurulatih Al-Ahli, Matthias Jaissle, JDT mempamerkan corak permainan berdisiplin dan bijak menyerap asakan mereka.

Tatkala Al-Ahli berusaha mencari gol pendahuluan, Harimau Selatan membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi gol sendiri Ali Majrashi.

18 minit selepas itu, Ali bernasib malang apabila dilayangkan kad merah. Ini selepas kakinya terkena kepala Jairo semasa cuba mengeluarkan bola.

Situasi cemas menyelubungi penyerang Brazil itu diberi bantuan kecemasan selama beberapa minit sebelum dibawa keluar. Jurulatih JDT, Xisco Munoz kemudiannya memasukkan Ager Aketche sebagai pengganti Jairo.

Al-Ahli memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol lewat babak pertama Franck Kessie.

Bersambung selepas rehat, Al-Ahli terus memberi tekanan ke atas JDT meskipun beraksi dengan 10 pemain.

Penyokong Al-Ahli kemudiannya ceria apabila Galeno meletakkan pasukan itu di hadapan menerusi rembatan cantik pada minit ke-58.

Kelebihan gol tersebut mendorong anak buah Jaissle memilih berkubu dalam kawasan mereka untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki.

JDT kemudiannya memasukkan Yago Cesar dan Bergson da Silva untuk memburu gol penyamaan. Malangnya, itu tidak berlaku dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Al-Ahli akan berentap dengan Vissel Kobe di peringkat separuh akhir. JDT pula kini boleh mengalihkan fokus kepada baki aksi Liga Super, final Piala Malaysia dan separuh akhir Shopee Cup.

Galeno dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0. Beliau jauh di hadapan Kessie yang meraih 7.9 mata.