Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva diusung keluar selepas mukanya ditendang oleh pemain Al-Ahli.
Insiden yang berlaku pada minit ke-38 itu berpunca daripada perebutan bola di udara yang melibatkan Jairo Da Silva serta pertahanan kanan Al-Ahli, Ali Majrashi.
Jairo yang melompat untuk menanduk bola bagaimanapun ditendang di bahagian muka oleh Ali Majrashi yang membuat aksi akrobatik sehingga mengenai muka penyerang utama JDT itu.
Insiden itu membuatkan Jairo terus rebah di atas padang sehingga suasana menjadi sedikit panik melibatkan para pemain JDT dan Al-Ahli yang segera memanggil paramedik.
Jairo lantas diusung keluar dan JDT membawa masuk Ager Aketxe untuk mengisi kekosongan penyerang dari Brazil itu sementara Ali Majrashi dilayangkan kad merah tidak lama kemudian.
Keputusan semasa, JDT dan Al-Ahli terikat seri 1-1 selepas jaringan sendiri Ali Majrashi meletakkan pasukan Harimau Selatan di hadapan sebelum Frank Kessie menyamakan skor.