Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ahli mencatat kemenangan besar ke atas wakil Asia Tenggara, Buriram United dalam aksi pusingan suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Setelah berjaya menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pusingan 16 terakhir, Buriram United kini menjadi salah satu pasukan yang mara ke suku akhir dan akan berdepan Al Ahli.
Tonggak Harimau Malaya, Dion Cools dipilih untuk memakai lilitan kapten bagi pasukan Buriram United manakala Al Ahli pula bariskan pemain bintang seperti Riyad Mahrez dan juga Roberto Firmino.
Ternyata gandingan Mahrez dan Firmino berjaya memberikan kelebihan awal buat Al Ahli apabila bekas pemain Man City ini menyempurnakan hantaran bagi membolosi gawang Buriram seawal minit ke-4.
Dua minit kemudian, giliran seorang lagi tonggak sayap iaitu Wenderson Galeno bagi mencetak jaringan kedua kelab dari Arab Saudi itu hasil bantuan rakan sepasukan, Roger Ibanez dari sebelah kiri.
Aksi menjadi hangat apabila Buriram dihadiahkan tendangan penalti minit ke-10 permainan akan tetapi semakan daripada Video Assistant Referee (VAR) telah menarik balik keputusan tersebut.
Penyokong setia Al Ahli terus bersorak ceria apabila Roberto Firmino pula berjaya menembusi gawang Buriram untuk gol ketiga perlawanan berpunca dari sepakan sudut oleh Riyad Mahrez.
Separuh masa pertama tamat, Al Ahli 3-0 Buriram.
Bersambung babak kedua, tiada jaringan dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan meskipun deretan peluang yang terhidang dimiliki oleh Buriram United dan juga Al Ahli ketika itu.
Beberapa pertukaran penting turut dilakukan oleh jurulatih Al Ahli dan Buriram dalam usaha untuk memecah kebuntuan di separuh masa kedua namun masih juga gagal membuahkan hasil.
Di hujung aksi, Wenderson Galeno dijatuhkan di dalam kotak penalti Buriram akan tetapi semakan daripada VAR tidak lama kemudian telah pun membatalkan keputusan pengadil untuk beri tendangan penalti.
Aksi di Stadium Alinma berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Al Ahli.
Keputusan ini menyaksikan Al Ahli mara ke separuh akhir ACLE dan akan bertemu seteru utama, Al Hilal manakala tiada lagi wakil Asia Tenggara dengan kekalahan pasukan Buriram ini.