Nama pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Arif Aiman Hanapi terus menjadi sebutan di pentas Asia.
Ini kerana pemain sayap berusia 22 tahun itu sudah menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) berdasarkan statistik Sofascore. Ini sekaligus meletakkan Arif berkongsi kedudukan kedua penjaring terbanyak ACLE setakat ini.
Arif berkongsi kedudukan berkenaan dengan penyerang berbisa Al-Hilal, Aleksandar Mitrovic, Salem Al-Dawsari (Al-Hilal), Soufiane Rahimi (Al-Ain) dan Taisei Miyashiro (Vissel Kobe).
Ini menjadikan pemain sayap Harimau Malaya itu lebih berbisa berbanding beberapa penyerang terkemuka dunia yang beraksi di Asia. Antara nama yang diatasi Arif ialah Cristiano Ronaldo, Roberto Firmino, Riyad Mahrez dan Joselu.
Statistik ini turut mengesahkan pandangan jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon tentang status Arif sebagai antara bintang yang meningkat naik di Asia.
“Ya, saya lihat aksinya (Arif Aiman) dan saya amat berbangga. Beliau beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir. Caranya menjaringkan gol juga amat menakjubkan.
“Dia tunjukkan kualitinya kepada Asia. Ya, dia telah membuktikan segalanya, lebih kuat dan matang berbanding sebelumnya. Tidak lama lagi, beliau akan menjadi salah seorang pemain terbaik di Asia,” katanya.
Gol keempat Arif dicatat dalam kemenangan 3-0 Harimau Selatan ke atas Ulsan HD. Selain pemain sayap kebangsaan itu, Oscar Arribas dan Bergson da Silva turut mencipta nama sebagai penjaring.
Keputusan ini menyaksikan JDT menduduki tangga ketiga Liga Timur ACLE dengan tujuh mata. Ini sekaligus mengatasi Shanghai Shenhua dan Buriram United yang masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.
Pemain sayap Albania, Jasir Asani terus menerajui carta penjaring terbanyak ACLE dengan enam gol. Beliau terus bertahan sebagai pendahulu carta meskipun Gwangju tewas 2-0 kepada Vissel Kobe.