Advertising
ACLE: Gwangju Malukan Yokohama F. Marinos 7-3
MakanBola
Gwangju FC

Aksi pertama AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa menyaksikan Gwangju melakar kejutan dengan membelasah naib juara edisi lalu, Yokohama F. Marinos.

Pertembungan ini dilihat menarik setelah Yokohama, naib juara J League akan bertandang ke laman Gwangju yang bakal melakukan penampilan pertama di kejohanan Asia.

Barisan pemain Gwangju diketuai oleh tonggak pertahanan, Lee Min-ki manakala Yokohama F Marinos mempertaruh gandingan Elber dan Asahi Uenaka di bahagian hadapan.

Ad

Seawal minit ke-2, Jasir Asani meletakkan Gwangju di depan hasil rembatan kencang kaki kiri setelah menerima umpanan dari pemain tengah, Jung Ho-yeon.

Tidak lama kemudian, giliran Oh Hu-sung pula meledak gol kedua buat tuan rumah hasil hantaran lintang dari Jung Ho-yeon pada minit ke-15 untuk menjadikan skor 2-0.

Ad
Ad

Penyerang Yokohama, Elber berjaya merapatkan kedudukan dengan gol pertama buat Marinos pada minit ke-34 sebelum kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan.

Ad

Separuh masa pertama tamat, Gwangju 2-1 Yokohama F. Marinos.

Kembali dari rehat, tuan rumah terus melebarkan kelebihan dengan jaringan ketiga sekali lagi menerusi ledakan pemain sayap, Jasir Asani 10 minit bersambung babak kedua.

Empat minit kemudian, Elber merapatkan jurang buat naib juara ACL edisi lalu itu dengan jaringan kedua peribadi yang juga untuk Yokohama F. Marinos, menjadikan skor 3-2.

Tiga gol pantas dalam masa enam minit dicipta oleh Gwangju hasil jaringan Beka Mikeltadze, Lee Heui-kyun dan Gabriel Tigrao terus meletakkan lawan dalam keadaan tertekan.

Malang buat pelawat apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Eduardo diarahkan meninggalkan padang setelah menerima layangan kad merah pada minit ke-78.

Takuma Nishimura sempat menjaringkan gol ketiga untuk Yokohama F. Marinos namun jaringan ketujuh Gwangju oleh Jasir Asani memusnahkan harapan lawan untuk bangkit.

Aksi di Gwangju World Cup Stadium berakhir dengan keputusan 7-3 memihak Gwangju FC.

Saingan ACLE bakal bersambung pada awal Oktober dengan Gwangju akan terbang ke Jepun untuk berdepan satu lagi wakil negara Matahari Terbit, Kawasaki Frontale di laman lawan.

Begitu juga dengan Yokohama F. Marinos yang akan bertemu kelab Korea Selatan, Ulsan HD yang kini dibimbing bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon pada 2 Oktober.