Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan gergasi Jepun Vissel Kobe 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia musim 2025-2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.
Pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) menurunkan Andoni Zubiaurre di bahagian penjaga gol dan Hector Hevel sebagai arkitek di bahagian tengah manakala Bergson da Silva mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, Vissel Kobe membariskan Shuichi Gonda di benteng terakhir dan gandingan Jean Patric & Yuta Goke sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.
JDT memulakan aksi dengan tempo tinggi apabila melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Vissel Kobe.
Bergson terlebih dahulu menguji kubu lawan menerusi rembatan kencang pada awal perlawanan. Namun begitu, ketangkasan penjaga gol pasukan berjulukan Ushi, Shuichi Gonda, wajar dipuji apabila beliau berjaya menafikan percubaan tersebut.
Marcos Guilherme turut mencipta peluang berbahaya, namun rembatan yang dilepaskannya sedikit tersasar dan gagal menemui sasaran gawang gergasi Jepun itu.
Vissel Kobe melakukan percubaan berbahaya pada minit ke-20 menerusi Jean Patric, namun penjaga gol Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT), Andoni Zubiaurre, berjaya menepis percubaan tersebut.
Harimau Selatan berjaya meledak gol pembukaan perlawanan menerusi rembatan padu Nene dari dalam kotak penalti Vissel Kobe. Namun begitu, jaringan tersebut terpaksa dibatalkan selepas 3 pemain JDT dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Memasuki babak kedua perlawanan, JDT dan Vissel Kobe masih mengekalkan intensiti tinggi bagi memperoleh gol pembukaan.
JDT terus-menerus mengasak kubu pasukan pelawat, Vissel Kobe, demi menceriakan puluhan ribu penyokong setia yang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim.
Gol oleh Marcos Guilherme pada minit ke-58 untuk Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) yang hadir hasil umpanan menarik daripada Bergson da Silva terpaksa dibatalkan sekali lagi selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tidak lama kemudian, pada minit ke-63, Jean Patric pula menguji pertahanan Harimau Selatan dengan satu percubaan berbahaya dari dalam kotak penalti, namun rembatan tersebut sedikit tersasar dan gagal menghasilkan jaringan.
Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-73 menerusi jaringan hasil umpanan cantik pemain gantian, Jairo da Silva. Gol tersebut memastikan Harimau Selatan melangkah ke peringkat 16 terbaik musim ini tanpa bergantung keputusan pasukan lain pada esok hari.
Aksi terakhir ACLE peringkat kumpulan musim ini di Stadium Sultan Ibrahim tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT).