Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur kehilangan khidmat Arif Aiman menjelang aksi getir suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Arif Aiman terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika bersama skuad Harimau Malaya pada November yang memerlukannya menjalani pembedahan
Setelah mendapatkan rawatan di luar negara, pemain sayap tersebut dilaporkan sudah menjalani latihan ringan bersama skuad JDT, sekali gus memberi bayangan akan kembali tidak lama lagi.
Malangnya, khidmat Arif Aiman tidak dapat digunakan pada aksi suku akhir ACLE minggu hadapan selepas jurulatih JDT, Xisco Munoz enggan mengambil risiko untuk membawanya ke Arab Saudi.
”Tidak, tidak. Kami tidak boleh memikirkan situasi tersebut (membawa Arif Aiman) pada masa ini,” komen Xisco Munoz seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
”Beliau (Arif Aiman) kini dalam keadaan baik dan sedang bekerja keras untuk kembali, tetapi untuk masa sekarang, agak mustahil (untuk membawanya ke Arab Saudi).”
”Kami tak boleh (senaraikan Arif Aiman untuk aksi ACLE),” jelas jurulatih kelahiran Sepanyol itu ringkas.
Walaupun tanpa kehadiran Arif Aiman, JDT pastinya bakal terbang ke Arab Saudi dengan misi penting untuk melakar sejarah apabila dijadualkan menentang pemenang antara Al-Ahli atau Al-Duhail.