ACLE: Jurulatih Sanfrecce Hiroshima Mahu Penjelasan Pengadil
MakanBola
Dhom Seirafas/MakanBola

Ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul minta penjelasan pengadil berikutan beberapa insiden membabitkan pemain-pemain beliau ketika aksi menentang JDT pada Rabu.

Perlawanan tersebut menyaksikan Sanfrecce Hiroshima tumpas 3-1 kepada JDT hasil jaringan Bergson da Silva, Ager Aketxe dan Marcos Guilherme.

Menurut beliau, selepas tamat perlawanan, beberapa perkara penting menjadi perhatian, termasuk keputusan pengadil. Namun, beliau memuji semangat juang pasukan Sanfrecce Hiroshima walaupun berdepan situasi yang sukar.

“Bagi saya, keputusan itu menunjukkan kurangnya pertimbangan terhadap situasi permainan. Jika pemain tidak diberi amaran kali kedua sebelum dikeluarkan dari padang, keputusan itu terasa terlalu cepat. Namun saya tidak mahu mengulas lanjut kerana pengadil bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.”

“Saya berharap pengadil juga boleh menjelaskan kepada media mengapa kad itu diberikan.”

“Walaupun begitu, pasukan kami tetap berjuang dengan baik, mencipta peluang dan cuba bertahan. Ia perlawanan yang sukar, tetapi saya bangga dengan pasukan dan gembira kerana kami berjaya menjaringkan satu gol yang memberi harapan untuk perlawanan seterusnya,” kata Bartosch Gaul ketika sidang media selepas perlawanan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan timbal balik yang mempertemukan JDT dengan Sanfrecce Hiroshima itu dijadualkan berlangsung pada 11 Mac, pukul 6.00 petang, di Edion Peace Wing Hiroshima.