ACLE: JDT Lunas Dendam, ‘Baham’ 10 Pemain Sanfrecce Hiroshima
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan penting dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Hiroshima pada 11 Mac ini.

Jairo da Silva menjadi pilihan Xisco Munoz untuk mengetuai serangan JDT. Akito Suzuki pula diberi amanah mengetuai serangan Sanfrecce.

Sebaik wisel permulaan ditiup, JDT berusaha mencari gol awal menerusi Jairo, Joao Figueiredo dan Nacho Mendez.

Hal ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai penjaga gol, Keisuke Osako bekerja keras menafikan percubaan tuan rumah.

Harimau Selatan kemudiannya membuat pertukaran awal dengan memasukkan Ager Aketxe sebagai pengganti Natxo Insa pada minit ke-25. Insa tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Tiga minit kemudian, Sanfrecce dipaksa bermain dengan 10 pemain. Pemain Korea Selatan, Kim Ju-sung dilayangkan kad kuning kedua selepas dikesan menyiku Rui Nene.

Mendez hampir menggegar jaring Sanfrecce pada minit ke-33 tetapi bola rembatannya terkena tiang. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, pelawat membuat pertukaran dengan memasukkan Naoto Arai sebagai pengganti Motoki Ohara.

Penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ceria apabila pemain gantian, Ager Aketxe membuka tirai jaringan pada minit ke-52.

Sanfrecce makin derita apabila seorang lagi pemain gantian JDT, Bergson da Silva meledakkan gol kedua pasukan itu pada minit ke-63.

JDT meraih gol ketiga menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-85. Sanfrecce meraih gol saguhati menerusi gol sendiri Nene seminit selepas itu.

JDT berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. JDT bukan saja membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Hiroshima.

Malah, kemenangan ini menyaksikan JDT membalas dendam terhadap lawan sama. Ini kerana Harimau Selatan tewas 2-1 kepada Sanfrecce dalam saingan Liga Timur ACLE.

Meskipun tewas, Osako dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.8. Beliau diekori rapat Aketxe yang meraih 8.4 mata.

Claim Money Packet TnG