Sanfrecce Hiroshima menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dalam aksi ke-7 Liga Juara-Juara Asia musim 2025-2026 di Edion Peace Wing Hiroshima, Hiroshima pada Selasa.
Pasukan tuan rumah, Sanfrecce Hiroshima menurunkan Keisuke Osako di bahagian penjaga gol dan Hayao Kawabe sebagai arkitek di bahagian tengah manakala Akito Suzuki mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, JDT membariskan Andoni Zubiaurre di benteng terakhir dan gandingan Joao Figueiredo & Jairo da Silva sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.
Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-3 menerusi gol cantik oleh Marcos Guilherme.
Sanfrecce Hiroshima tersentak dengan jaringan tersebut dilihat terus melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi pemain berprolifik pasukan tersebut, Sota Nakamura.
Sanfrecce Hiroshima berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Akito Suzuki. Penalti tersebut diberikan selepas percubaan berbahaya pasukan itu terkena tangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jonathan Silva.
Insiden berkenaan turut menyaksikan Jonathan Silva dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, sekali gus memaksa JDT beraksi dengan 10 pemain untuk baki perlawanan.
Keputusan terikat 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan meskipun kedua-dua kelab saling berbalas serangan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol kemenangan aksi.
Sanfrecce Hiroshima yang menerima suntikan semangat tambahan daripada ribuan penyokong di laman sendiri berjaya meledak gol kedua perlawanan pada minit ke-47 menerusi jaringan Akito Suzuki sekali lagi.
Harimau Selatan dilihat kian buntu untuk menambah jaringan apabila semua gerakan serangan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan julukan Pemanah Ungu.
Memasuki minit ke-70, Sanfrecce Hiroshima masih mendahului perlawanan dengan kelebihan 1 gol.
Harimau Selatan terus menerus mengasak kubu pasukan Sanfrecce Hiroshima pada penghujung separuh masa kedua namun masih gagal menembusi jaring gawang tuan rumah.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Sanfrecce Hiroshima.
Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal meneruskan aksi terakhir mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2025/26 dengan menentang Vissel Kobe pada 17 Februari depan di Stadium Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sanfrecce Hiroshima dijadualkan bertemu FC Seoul di halaman lawan pada tarikh sama bagi aksi kelapan Liga Juara-Juara Asia 2025/26.