Marcos Guilherme Rekrut Terbaru JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Selepas Yago Cesar da Silva, giliran Marcos Guilherme menjadi rekrut terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perpindahan pemain berusia 30 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu video di platform Johor Southern Tigers.

“Destinasi terbaru Marcos Guilherme ialah Johor Darul Ta’zim FC!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebelum menyertai JDT, anak jati Itarare, Brazil itu beraksi secara pinjaman semusim untuk kelab FC Tokyo dari V. Varen Nagasaki.

Guilherme merekodkan 14 penampilan dan satu bantuan gol untuk FC Tokyo pada musim 2025. Beliau juga merekodkan 79 penampilan, 17 gol dan 19 bantuan gol untuk Nagasaki.

Selain Nagasaki dan FC Tokyo, Guilherme juga pernah beraksi di Asia Barat untuk kelab Arab Saudi, Al-Wehda.

Guilherme juga pernah beraksi untuk Dinamo Zagreb, Khimki, Santos, Sao Paulo dan Internacional.

Guilherme dan Yago Cesar menjadi sebahagian daripada tiga rekrut baharu JDT dari Brazil seperti yang dikongsikan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Kini, penyokong Harimau Selatan tidak sabar mengetahui siapa rekrut terakhir juara Piala FA 2025/26 itu dari negara kuasa bola sepak dunia itu.