Peledak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Yago Cesar da Silva memiliki nilai pasaran berbeza dengan dua lagi peledak, Bergson da Silva dan Jairo da Silva.
Semakan di laman sesawang Transfermarkt mendapati Jairo memiliki nilai pasaran sebanyak €800,000 (RM3.8 juta).
Bergson dan Yago Cesar mengekori di belakang dengan masing-masing memiliki €350,000 (RM1.6 juta) dan €300,000 (RM1.4 juta).
Meskipun memiliki nilai berbeza di pasaran, sumbangan gol Bergson dan Jairo cukup bermakna buat JDT.
Bergson bukan saja berkongsi penjaring terbanyak Liga Super bersama Jairo dengan 12 gol. Malah, beliau juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman liga itu.
Selain mencipta 12 gol dalam liga, Jairo turut merekodkan lapan bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Bekas penyerang Pafos itu sudah merasai nikmat trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini. Bergson pula sudah membantu JDT meraih pelbagai trofi sejak menyertai kelab itu pada 2021.
Justeru, ramai penyokong JDT mengharapkan Yago Cesar dapat memberi impak besar setanding dengan dua peledak tersebut.
Sebelum menyertai Harimau Selatan, pemain berusia 28 tahun itu beraksi untuk kelab K-League 1, FC Anyang. Yago Cesar merekodkan 16 gol dan 21 gol dalam 99 penampilan untuk kelab itu.