ACLE: Kad Merah ‘Kacau’ Strategi JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui kad merah mengubah strategi pasukan itu dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Sanfrecce Hiroshima.

JDT pada awalnya mendahului menerusi Marcos Guilherme. Walau bagaimanapun, pelawat dipaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Jonathan Silva dibuang padang pada minit ke-22.

Ini membuka ruang buat Akito Suzuki menyempurnakan penalti untuk gol penyamaan Sanfrecce. Gol kemenangan tuan rumah hadir menerusi Suzuki pada separuh masa kedua.

Munoz mengakui insiden kad merah yang menimpa Harimau Selatan mengganggu usaha pasukan itu untuk mendapatkan mata di bumi Jepun.

“Selepas (insiden kad merah) dalam perlawanan, kita terpaksa ubah (strategi) permainan. Bermain menentang mereka (dengan 10 pemain) sangat sukar,” katanya selepas perlawanan.

Munoz turut menyifatkan insiden itu sebagai satu pengajaran buat anak buahnya agar tampil lebih baik selepas ini.

“Apa yang boleh kita katakan ialah kita akan terus belajar. Ianya penting, kita mahu cuba capai tahap permainan ini.

“Ia lebih bagus (buat pasukan) jika kita terus berada di tahap itu bersama mereka,” ujarnya.

JDT kini perlu menang ke atas Vissel Kobe jika mahu mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE musim ini.