Perlawanan kedua AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa menyaksikan Pohang Steelers mengejutkan jaguh dari China, Shanghai Port dengan keputusan besar.
Setelah terikat seri berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama, Shanghai Port meneruskan saingan dengan melayani kunjungan Pohang Steelers yang tewas sebelum ini.
Bekas pemain Chelsea, Oscar terus mengetuai kesebelasan utama Shanghai Port manakala Pohang Steelers menaruh harapan kepada gandingan An Jae-jun dan Jorge Teixeira di jentera serangan.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Shanghai Port tidak berhenti mengatur serangan menerusi gerakan Oscar, Willian Popp dan Gustavo namun gawang tuan rumah tetap kebal.
Pohang pula lebih banyak melakukan serangan balas pantas dan hampir meledak gol pembukaan akan tetapi rembatan Oberdan Alionco tepat ke arah penjaga gol Shanghai Port, Yan Junling.
Separuh masa pertama tamat, Pohang Steelers 0-0 Shanghai Port.
Kembali dari rehat, jaringan yang dicari akhirnya tiba hasil tendangan kencang kapten Pohang Steelers, Wanderson yang gagal diselamatkan oleh Yan Junling pada minit ke-52.
Gol tersebut jelas membangkitkan semangat Pohang bagi mencari jaringan kedua dan usaha itu membuahkan hasil apabila percubaan Hong Yun-sang di minit ke-65 menemui jaring.
Lima minit kemudian, pelawat terus merana dengan gol ke-3 Pohang yang dijaringkan oleh pemain gantian Han Chan-hee menerusi satu rembatan deras dari sudut kiri pintu gol lawan.
Kebangkitan yang diharapkan oleh Shanghai Port tampak sukar apabila Matheus Jussa dilayangkan kad merah kerana menyiku lawan membuatkan pelawat beraksi kurang seorang pemain.
Perlawanan di Pohang Steel Yard berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Pohang Steelers.
Saingan ACLE bakal bersambung pada penghujung Oktober dengan Shanghai Port bakal kembali ke laman sendiri untuk berdepan Central Coast manakala Pohang Steelers akan bertemu Buriram United di Thailand.