Jaguh berbasikal trek Malaysia, Azizulhasni Awang tampil dengan satu lagi kenyataan berhubung kemelut yang kini melanda ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.
Menerusi perkongsian terbaharunya di media sosial, Azizulhasni menjelaskan bahawa Beasley tidak pernah berhasrat untuk meletakkan jawatan serta-merta meskipun berdepan pelbagai isu sejak kebelakangan ini.
Menurut kenyataan Azizulhasni, fokus utama jurulatih dari Australia itu ketika ini adalah untuk memastikan persiapan atlet negara berjalan lancar menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Dalam masa sama, The Pocket Rocket Man turut mendedahkan antara faktor yang didakwa menjadi punca ketegangan membabitkan Beasley adalah rasa ketidakpuasan hati oleh dua bekas jurulatih yang sudah dipendam lama.
“Isu timbul apabila ada dua jurulatih tempatan tidak berpuas hati dengan John Beasley ni. Dua jurulatih ini adalah bekas jurulatih kebangsaan juga, akan tetapi yang sorang tu dibuang dan sorang lagi ditamatkan kontrak.
“Sebenarnya sudah beberapa tahun mereka berada di luar, tak ada isu pun sebelum ini. Dah elok-elok duduk diam-diam tiba-tiba sejak dua menjak keluar menyalak-nyalak.
“Persoalannya kenapa dengan tiba-tiba baru keluar buat vendetta terhadap John ni setelah sekian lama?” katanya.
Azizulhasni turut mendakwa salah seorang daripada individu terbabit mempunyai isu salah laku manakala seorang lagi dikatakan tidak lagi bersama organisasi berkenaan selepas kontraknya ditamatkan.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana individu dalam kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Azizulhasni menjelaskan satu sesi townhall pernah diadakan bagi meredakan ketegangan yang berlaku dengan menghimpunkan beberapa pihak berkepentingan termasuk jurulatih-jurulatih negeri dan Beasley.
Namun menurut Beasley seperti yang diceritakan oleh Azizulhasni, pertemuan itu tidak menghasilkan sebarang penyelesaian konkrit terhadap isu yang dibangkitkan.
“John Beasley cerita yang beliau kecewa kerana di penghujungnya tidak ada apa-apa solusi pun yang dicapai dan seperti hanya membuang masa sahaja,” jelasnya.
Azizulhasni turut menegaskan bahawa beliau mempertahankan Beasley bukan semata-mata kerana jurulatih itu pernah membimbingnya, sebaliknya atas jasa besar yang telah dicurahkan sepanjang hampir dua dekad membangunkan sukan berbasikal negara.
Malah, beliau percaya individu yang mahu melihat Beasley meninggalkan program berbasikal negara tidak mempunyai agenda untuk memajukan sukan tersebut, sebaliknya hanya mahu menyingkirkan jurulatih berkenaan.
Untuk rekod, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini menafikan laporan yang mendakwa John Beasley telah meletakkan jawatan dan memaklumkan beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga kontraknya berakhir.