Adib Ra’op Pemain Ke-3 Perkuat Selangor
MakanBola
SELANGOR FC

Bekas pertahanan kiri Penang, Adib Raop menjadi rekrut ketiga Selangor FC untuk menghadapi musim 2026/27.

Perpindahan pemain berprolifik berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi mereka pada Rabu.

Menurut Adib Raop, beliau sangat bangga menyertai Selangor FC dan tidak sabar beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Merah Kuning.

“Merupakan satu penghormatan buat saya menyertai Selangor FC. Saya teruja untuk memulakan cabaran baharu ini dan akan memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan mencapai kejayaan. Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong setia Red Giants dan berjuang bersama-sama demi Merah Kuning,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman media sosial milik Selangor.

Selain itu, menurut Kim Pan-gon, Adib memiliki ciri-ciri dan kualiti yang amat bertepatan dengan identiti serta corak permainan yang ingin diterapkan di Selangor FC.

“Adib merupakan seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal, kepantasan, mentaliti menyerang serta pendekatan yang agresif di atas padang. Profilnya amat bertepatan dengan identiti dan corak permainan yang ingin kami terapkan di Selangor FC.”

“Kami teruja untuk menyaksikan tenaga, intensiti dan kekuatan pertahanan yang akan dibawanya kepada pasukan, dan saya percaya beliau akan memberikan sumbangan yang besar sepanjang musim ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Adib Raop merupakan pemain ketiga yang menyertai The Red Giants selepas A.Selvan dan bekas pemain tengah Sri Pahang & Kelantan TRW, Nor Azam Azih.