Selangor FC secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman, Azam Azih, sebagai pemain tempatan kedua yang dibawa masuk bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim baharu.
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Gergasi Merah selepas menghabiskan lebih sedekad bersama Sri Pahang FC, sekali gus menamatkan perjalanan panjangnya bersama skuad Tok Gajah.
Sejak menembusi skuad utama pada 2015, Azam membina reputasi sebagai antara pemain tengah terbaik negara menerusi ketenangan ketika menguasai bola, kualiti kepimpinan serta pemahaman taktikal yang tinggi.
Kehadirannya dijangka memberikan lebih kekuatan di bahagian tengah Selangor, khususnya menerusi kemampuan mengawal tempo permainan, melakukan hantaran tepat selain berkesan dalam membantu serangan dan bertahan.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menyifatkan Azam Azih sebagai antara pemain tengah paling berkualiti pernah dilahirkan bola sepak Malaysia.
“Bagi saya, Azam adalah antara pemain tengah paling berbakat dari segi teknikal yang pernah dihasilkan bola sepak Malaysia. Dia mempunyai pemahaman permainan yang sangat baik, mampu mengawal tempo dengan cemerlang, memiliki kualiti hantaran dan agihan bola yang luar biasa serta mampu menghubungkan setiap fasa permainan dengan berkesan.
“Dia bukan sahaja membantu ketika menyerang, malah cukup berdisiplin ketika bertahan. Kami memerlukan pemain berpengalaman seperti Azam kerana mereka mampu membawa kestabilan dan ketenangan kepada pasukan.
“Falsafah kami adalah menguasai setiap perlawanan dan saya percaya Azam akan memainkan peranan penting dalam membantu kami mengawal bahagian tengah serta melaksanakan corak permainan yang kami inginkan,” katanya.
Sepanjang kariernya, Azam dikenali sebagai antara pemain tengah paling konsisten dalam Liga Super Malaysia. Selain itu, beliau turut mengumpul 24 penampilan bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Sementara itu, Azam mengakui perpindahan ke Selangor merupakan antara detik paling membanggakan sepanjang kariernya.
“Selangor FC adalah salah sebuah kelab terbesar dalam bola sepak Malaysia dengan sejarah yang cukup hebat serta visi yang jelas untuk masa depan. Kita dapat melihat usaha besar yang dilakukan kelab ini untuk terus berkembang dari tahun ke tahun.
“Saya benar-benar berbangga dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC dan tidak sabar untuk membantu pasukan mencapai kejayaan yang lebih besar sambil memberikan yang terbaik buat para penyokong,” katanya.
Kehadiran Azam dijangka menambah pengalaman, ketenangan serta kualiti di jentera tengah Selangor FC ketika kelab itu terus memburu kejayaan di pentas domestik dan juga saingan serantau.