Peringatan ‘Mesra’ Azam Azih Kepada CEO Kelantan TRW
MakanBola
THE REAL WARRIORS

Ketua pasukan Kelantan TRW, Azam Azih memberikan peringatan mesra kepada CEO kelab tersebut.

Beliau melakukan tuntutan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan TRW, Datuk Mohd Irwan Rizal berhubung tunggakan gaji yang masih belum dilangsaikan.

Pemain berusia 31 tahun itu dibawa masuk oleh The Real Warriors pada awal musim ini selepas meninggalkan kelab kesayangan beliau, Sri Pahang yang memutuskan tidak beraksi di Liga Malaysia tahun ini.

Sungguhpun beraksi dengan baik di bahagian tengah, ia masih tidak dapat menjamin gaji bekas pemain Sri Pahang itu apabila difahamkan pemain-pemain pasukan tersebut tidak menerima gaji selama 3 bulan.

Menerusi tangkap layar instastory Azam Azih, beliau mengingatkan supaya CEO Kelantan TRW melunaskan hutang gaji pada Selasa.

“Dato Irwan Rizal, jangan buat lupa ya bayar gaji kami,” tulis Azam Azih pada hantaran tersebut.

Krisis yang melanda pasukan itu dilihat semakin meruncing selepas Kelantan TRW dibelasah 14-1 oleh gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad lalu.

Keputusan tersebut turut mencatat sejarah sebagai kekalahan terbesar dalam saingan Liga Malaysia sejak liga itu diperkenalkan.