Indonesia berjaya menewaskan Vietnam untuk meraih kemenangan pertama di pentas Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Shin Tae-yong menampilkan aksi bertenaga apabila kerap menekan pemain Vietnam dan pantas melakukan serangan sehinggakan Vietnam bergelut untuk menyerang.
Sandy Walsh hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-36 namun tandukan beliau berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Philip Nguyen.
Indonesia akhirnya diberikan sepakan penalti apabila Rafael Struick ditarik pemain Vietnam di dalam kawasan kotak penalti.
Kapten pasukan Garuda, Asnawi Mangkualam mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Indonesia dihadapan pada minit ke-42 sehingga tamat babak pertama.
Bermula separuh masa kedua, Vietnam melakukan beberapa pertukaran pemain dan tampil lebih agresif dalam menyerang kubu pertahanan Indonesia untuk mendapatkan gol penyamaan.
Perlawanan diberhentikan buat seketika apabila Jordi Amat mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tidak dapat meneruskan perlawanan setelah bertembung dengan Van Tung Nguyen.
Jordi Amat kemudian terpaksa diusung keluar dan digantikan dengan pemain pertahanan berusia 22 tahun, Rizky Ramadhani.
Anak buah kendalian Phillipe Troussier meneruskan pencarian gol mereka namun Vietnam sukar memasuki kawasan kotak penalti lawan.
Malang menimpa Vietnam yang terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Le Thanh Phong dilayangkan kad merah pada minit ke-90 ekoran mengutip dua kad kuning.
Vietnam hampir mendapatkan gol pada masa tambahan menerusi sepakan percuma namun penjaga gol Indonesia pantas menepis keluar bola tersebut.
Tamat perlawanan, Indonesia menewaskan Vietnam 1-0 dan kini Indonesia berada ditangga ketiga dengan mengumpul 3 mata manakala Vietnam ditangga terakhir setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Perlawanan seterusnya mempertemukan Jepun dan Indonesia manakala Vietnam akan bertemu Iraq pada 24 Januari ini untuk aksi terakhir peringkat kumpulan D Piala Asia 2023.