Hasrat juara Pestabola Merdeka untuk mempertaruhkan kudrat terbaik di pentas Piala Asia tidak kesampaian apabila kehilangan tonggak utama di bahagian tengah.
Persiapan pasukan ke-106 dunia itu membawa barisan terbaik ke Qatar dengan beberapa nama besar kembali mengisi skuad kali ini.
Ketua jurulatih Tajikistan, Petar Sergt juga berhasrat untuk memacu cabaran pasukannya dengan lebih jauh selepas tidak tewas dalam 5 perlawanan terakhir.
Keputusan ini termasuk ketika merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Malaysia untuk menjulang Piala Merdeka 2023.
Keadaan bertukar tidak baik selepas pengumuman daripada Persatuan Bola Sepak Tajikistan (TFA) apabila memaklumkan bahawa khidmat perancang Kedah Darul Aman, Amirbek Juraboev terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
“Perancang tengah Tajikistan, Amirbek Juraboev akan terlepas aksi di Piala Asia 2023 kerana kecederaan,” ujar TFA.
Pemain berusia 27 tahun itu telah beraksi sebanyak 55 perlawanan di pentas antarabangsa sejak kali pertama melakukan debut pada tahun 2014.
Tajikistan akan memulakan aksi Piala Asia 2023 berdepan China pada 13 Januari 2024 di Stadium Abdullah bin Khalifa.