Pasukan kebangsaan Malaysia dijangka menurunkan 3 tonggak berpengalaman untuk aksi menentang Korea Selatan yang berada ditangga ke-23 dunia.
Kim Pan-gon pastinya menuntut permainan terbaik daripada para pemain Malaysia dalam perlawanan terakhir Piala Asia 2023 lebih-lebih lagi berdepan pemain bertaraf dunia.
Menurut Zulhelmi Zainal Azam, tiga pemain iaitu Brendan Gan, Safawi Rasid dan Daniel Ting dijangka memperkuatkan kesebelasan utama Harimau Malaya berdasarkan sesi latihan semasa pasukan Malaysia.
Brendan Gan dan Daniel Ting masih belum melakukan sebarang penampilan di Qatar apabila posisi pemain tengah sebelum ini diisi oleh Afiq Fazail, Syamer Kutty, Natxo Insa manakala pertahanan kiri pula menjadi milik Corbin Ong.
Safawi Rasid pula hanya turun sekali sebagai pemain gantian menentang Jordan tempoh hari namun pemain itu sedia memberikan yang terbaik jika diturunkan berdepan Taeguk Warriors.
Dua lagi pemain iaitu Matt Davies dan Natxo Insa pula sedang menjalani pemulihan berdasarkan laporan semasa wartawan Astro Arena itu.
Aksi terakhir skuad Malaysia bertemu Korea Selatan tetap memberikan keterujaan kepada penyokong Harimau Malaya walaupun perjalanan Malaysia di Piala Asia telah berakhir.
Korea Selatan yang dibimbing oleh Jurgen Klinsmann kini kehilangan khidmat penjaga gol utama, Kim Seung-gyu yang mengalami kecederaan lutut dan terpaksa diketepikan hingga tamatnya saingan Piala Asia 2023.
Malaysia bakal turun bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada pukul 7.30 malam waktu Malaysia.