Berita buruk menimpa skuad Korea Selatan apabila penjaga gol utama, Kim Seung-gyu bakal terlepas baki saingan Piala Asia 2023 akibat kecederaan lutut.
Kim Seung-gyu dilaporkan mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) pada bahagian lutut kanan sewaktu menjalani sesi latihan pada hari Khamis kelmarin.
Berita mengenai kecederaan Kim Seung-gyu ini mendapat liputan media sukan Korea Selatan memandangkan status beliau selaku penjaga gol utama pasukan sejak Jurgen Klinsmann mengambil alih Korea Selatan.
Penjaga gol berusia 33 tahun ini turun selaku penjaga gol utama sewaktu aksi pertama kumpulan E antara Korea Selatan dan Bahrain yang menyaksikan Taeguk Warriors menang 3-1 dalam perlawanan tersebut.
Kim Seung-gyu menjadi pilihan utama sejak tahun 2018 dibawah kendalian jurulatih Paulo Bento dan Jurgen Klinsmann.
Ketiadaan Kim Seung-gyu pastinya mencacatkan perancangan Jurgen Klinsmann di Piala Asia setelah Korea Selatan masih mempunyai baki 2 perlawanan peringkat kumpulan menentang Jordan dan Malaysia.
Jo Hyeon-woo dan Song Bum-keun bakal mengisi kekosongan penjaga gol Korea Selatan untuk aksi seterusnya.
Jo Hyeon-woo merupakan bekas penjaga gol utama Korea Selatan sebelum beliau jatuh selaku penjaga gol kedua sejak Paulo Bento mengambil alih pada tahun 2018.

Nama Jo Hyeon-woo mungkin tidak asing bagi penyokong JDT memandangkan beliau merupakan penjaga gol utama Ulsan Hyundai namun Jo Hyeon-woo hanya memulakan 2 perlawanan selaku penjaga gol Korea Selatan sejak Jurgen Klinsmann mengambil alih tahun lalu.
Korea Selatan bakal bertemu Jordan pada 20 Januari ini sebelum bertemu Malaysia untuk aksi terakhir peringkat kumpulan E pada 25 Januari kelak.