Perlawanan pertama kumpulan E Piala Asia 2023 menyaksikan pasukan gergasi Korea Selatan meraih kemenangan selesa ke atas Bahrain.
Korea Selatan menurunkan kesebelasan terbaik mereka seperti Kim Min-jae dibahagian pertahanan, Hwang In-beom selaku pemain tengah serta Lee Kang-in dan Son Heung-min dibahagian serangan.
Bahrain pula tampil bermain dengan 3 pemain tengah yang dibarisi bekas pemain Kedah, Moses Atede bersama-sama Mohamed Al-Hardan dan Mohamed Marhoon.
Permulaan permainan Korea Selatan sedikit agresif setelah 3 pemain dilayangkan kad kuning iaitu Park Yong-woo (minit ke-6), Kim Min-jae (minit ke-13) dan Lee Ki Jee (minit ke-28).
Pada minit ke-30, Cho Gue-song memiliki peluang keemasan apabila menerima bola hantaran lintang ketika berada betul-betul dihadapan gol namun percubaan beliau tersasar jauh.
Pasukan kendalian Jurgen Klinsmann kerap mengasak dari belah kiri padang untuk melakukan hantaran dan lorongan kepada penyerang mereka namun percubaan tersebut kadangkala tersasar.
Hwang In-beom menamatkan penantian Korea Selatan apabila mudah merembat masuk bola hantaran Son Heung-min pada minit ke-38.
Separuh masa pertama tamat dengan Korea Selatan mendahului Bahrain 1-0.
Bermula babak kedua, Bahrain pantas melakukan kejutan apabila meraih gol penyamaan pada minit ke-50. Abdullah Al-Hashsash berjaya menyempurnakan bola tampanan pertahanan Korea Selatan dalam kawasan kotak penalti.
Korea Selatan yang terkejut dengan gol penyamaan itu kemudian mengasak kubu pertahanan Bahrain dan setelah 5 minit, pasukan Jurgen Klinsmann kembali dihadapan.
Bintang PSG, Lee Kang-in melakukan rembatan jarak jauh setelah menerima bola daripada Kim Min-jae untuk menewaskan Ebrahim Lutfalla.
Jurulatih Juan Antonio Pizzi kemudian mengubah pendekatan permainan apabila mengeluarkan Moses Atede dan penjaring gol perlawanan, Abdullah Al-Hashsash.
Taeguk Warriors yang mendominasi pegangan bola kerap kali mengancam pertahanan Bahrain dan Korea Selatan sekali lagi menambah jaringan menerusi Lee Kang-in pada minit ke-69.
Lee Kang-in yang tidak dikawal pemain perrtahanan Bahrain mudah merembat masuk bola untuk gol ketiga Korea Selatan.
Son Heung-min hampir menjaringkan gol pertamanya di Piala Asia 2023 namun rembatan pemain itu gagal menerjah jaring.
Tamat perlawanan, Korea Selatan menewaskan Bahrain 3-1 untuk meraih 3 mata pertama dalam saingan kumpulan E Piala Asia 2023.
Juara 2 kali Piala Asia itu menduduki tempat pertama kumpulan E namun kedudukan tersebut mungkin berubah jika Malaysia atau Jordan mencatatkan kemenangan besar kelak.