Penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon Woo mengakui kualiti serangan JDT amat berbahaya terutamanya dalam situasi serangan balas.
“Berdasarkan pengalaman menentang JDT tahun lalu, mereka amat berbahaya dari segi serangan balas dan mempunyai pemain yang berlari laju. Kami satu pasukan sudah membincangkan perkara ini sejak semalam dan hari ini.” jelas Jo Hyeon Woo pada sidang media perlawanan oleh Sport Chosun.
Namun penjaga gol Ulsan tersebut kekal optimis dan yakin mereka dapat mengatasi pemain JDT terutamanya apabila beraksi dilaman sendiri iaitu di Stadium Ulsan Munsu.
“Saya akan membuli pemain lawan (JDT) dengan gaya permainan kami dan memenangi perlawanan ini dihadapan penyokong kami sendiri.” ujar beliau lagi.
Ulsan Hyundai bagaimanapun sedikit bergelut ketika ini setelah pasukan tersebut gagal mencatat kemenangan dalam 4 perlawanan terakhir mereka.
Terbaharu, Ulsan mencatat kekalahan tipis 1-0 ke atas pasukan Gwangju dalam aksi play-off K League.
Manakala dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, Ulsan berkongsi mata dengan JDT iaitu sebanyak 3 mata setelah merekodkan 1 kemenangan dan 1 kekalahan dalam 2 perlawanan kumpulan I.
Ulsan Hyundai bakal menerima cabaran JDT digelanggang sendiri untuk aksi ketiga peringkat kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia.