Skuad Syria ke Piala Asia 2023 sedikit berbeza susulan kehadiran beberapa pemain warisan seperti Jalil Elias dalam pasukan tiu.
Meskipun ini panggilan pertama beliau menyertai Helang Qasioun untuk kejohanan antarabangsa, itu langsung tidak menjejaskan keharmonian dalam kem Syria.
Hal ini didedahkan sendiri oleh jurulatih Syria, Hector Cuper dalam sidang media pra-perlawanan Syria-Uzbekistan yang berlangsung semalam.
Bekas pengendali Valencia itu tidak melihat kehadiran pemain-pemain warisan terutama Elias akan memberi masalah kepada Syria.
Malah, Cuper percaya kehadiran mereka mampu melonjakkan lagi kualiti Helang Qasioun lebih-lebih lagi bila berdepan pasukan-pasukan hebat dalam saingan Piala Asia 2023.
“Keharmonian pemain dalam pasukan berada dalam keadaan yang amat bagus meskipun dengan kehadiran pemain baru (pemain warisan) menyertai skuad kebangsaan,” katanya.
Nama Elias menjadi sebutan ramai penyokong Malaysia sejak namanya diumumkan sebahagian daripada skuad Helang Qasioun ke Piala Asia 2023.
Ini selepas pemain tengah Argentina-Syria itu telah melengkapkan perpindahan ke kelab gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk musim 2024-2025.
Elias sudah merekodkan dua penampilan antarabangsa bersama Syria termasuk aksi persahabatan Malaysia-Syria pada 8 Januari lalu.
Kelibatnya bakal ditagih Cuper bagi mengepalai jentera tengah Syria bila mereka turun menentang Uzbekistan untuk aksi pertama Kumpulan B.
Helang Qasioun bakal turun menentang Uzbekistan di Stadium Jassim bin Hamad, Al-Rayyan pada awal pagi esok.